Sebagai Maharani Theodora (isteri Justinianus I)

Potret Justinianus pada mozek di Basilika San Vitale, Ravenna

Sewaktu Justinianus menaiki takhta pada tahun 527, dua tahun selepas berkahwin, Theodora dimahkotakan augusta dan menjadi maharani Empayar Rom Timur. Menurut Prokopios, dia mengambil bahagian dalam membuat keputusan, pelan dan strategi politik beliau, melibatkan diri dalam majlis mesyuarat negeri, juga mempunyai banyak pengaruh terhadap beliau. Justinianus pernah memanggil dia "pasangan pertimbangan beta,"[19] di dalam Novel 8.1 (535 TM), iaitu satu undang-undang antirasuah, yang mengatakan bahawa pegawai wilayah mesti mengangkat sumpah kepada maharani dan maharaja.

Sebagai permaisuri, Theodora mempunyai pandangan yang sama dengan Justinianus tentang Empayar Byzantium: Empayar Rom tidak boleh wujud tanpa menguasai Rom. Sejak kecil, beliau dididik bahawa Tuhan itu esa maka hanya satu Empayar Rom boleh dikatakan sah. Oleh sebab mereka ialah satu-satunya maharaja dan maharani yang beragama Kristian, mereka percaya mereka memikul tanggungjawab untuk mencipta keindahan syurga di Bumi.[20] Walaupun baru sahaja bertakhta berbanding maharaja-maharaja yang dahulu, Justinianus dan Theodora tidak ingin mengekalkan status quo. Semua cita-cita dan projek mereka, tidak kira membina gereja, bangunan awam baharu atau mengumpulkan tentera untuk kempen tentera yang besar, memerlukan dana yang banyak. Justinianus dan ketua menteri kewangan beliau, Iohanes dari Kapadokia, mengenakan cukai tambahan terhadap seluruh kaum bangsawan meski mereka terkilan dengan perbuatan yang tidak menghormati status sosial tinggi mereka.[21]

Rusuhan Nika

Terdapat dua buah perkumpulan utama yang sentiasa saling berselisih—Biru dan Hijau—sebelum, semasa dan selepas pemerintahan Justinianus dan Theodora. Mereka bergaduh di jalanan dan apabila menjadi maharaja, Justinianus ingin menjadikan bandar itu lebih aman dan tenteram. Usaha ini tidak dirasakan adil kerana beliau dan Theodora seolah-olah lebih memihakkan kumpulan Biru (Justinianus dikatakan menyukai Biru kerana mereka lebih lembut dengan pendirian mereka manakala keluarga Theodora pernah diabaikan oleh kumpulan Hijau semasa kecil selepas kematian ayah dia; lalu mereka dibantu oleh kumpulan Biru.) Akibatnya, kumpulan Hijau berasa terpinggir dan geram.[22] Dalam rusuhan antara dua kumpulan itu pada awal Januari tahun 532, pegawai bandar Eudaemon menangkap sekumpulan penjahat daripada Hijau dan Biru atas dakwaan membunuh. Mereka dihukum mati tetapi dua orang, seorang Biru dan seorang Hijau, terlepas ketika tempat gantung itu roboh. Kedua-dua kumpulan meminta pengampunan di hipodrom, tempat orang awam boleh merayu kepada maharaja tentang isu-isu semasa. Apabila perlumbaan kedua terakhir untuk hari itu tiba, dua kumpulan itu yang selalunya saling membenci, sama-sama bersorak menuntut pengampunan untuk dua penjahat tadi. Justinianus sedar bahayanya jika kedua-dua kumpulan ini bersatu untuk menyerang Theodora dan beliau, lalu beliau masuk ke istana untuk merancang apa yang akan mereka lakukan.[23]

Perusuh membakar banyak bangunan awam kemudian mengisytiharkan seorang maharaja baharu, Hypatius, anak saudara bekas maharaja Anastasius I. Selepas gagal mengawal orang ramai, Justinianus dan para pegawainya bersiap sedia untuk melarikan diri. Menurut Prokopios, bersama majlis mesyuarat, Theodora membantah meninggalkan istana dan menekankan betapa mulianya mati sebagai seorang pemerintah daripada hidup dalam buangan atau sebagai pelarian mengatakan bahawa, "ungu diraja itu kain kapan yang paling mulia."[24]

Menurut Prokopios, ketika maharaja itu dan penasihat-penasihatnya tetap ingin lari, Theodora menyampuk dan berkata:

Tuan-tuan, keadaan semasa ini terlalu serius untuk saya mengikut adat yang mengatakan bahawa seorang wanita tidak patut bercakap dalam majlis kaum lelaki. Mereka yang kepentingannya diancam bahaya besar sepatutnya berfikir tentang langkah tindakan yang terbaik, bukan adat. Pada pendapat saya, melarikan diri bukan pilihan yang tepat walaupun kita boleh terselamat. Seseorang yang telah dilahirkan ke dunia ini mustahil tidak mati; tetapi bagi orang yang telah berkuasa, menjadi pelarian tidak boleh diterima. Saya tidak mahu kehilangan jubah ungu ini, dan saya tidak mahu melihat hari apabila orang bertemu dengan saya tidak memanggil saya Maharani. Jika tuanku ingin menyelamatkan diri, itu tidak sukar. Kita kaya; laut ada di sana dan kapal ada di situ. Namun, fikir sejenak sama ada sekali tuanku tiba ke tempat yang selamat jika tuanku tidak akan sanggup gadaikan keselamatan itu dengan kematian. Bagi saya, saya setuju dengan peribahasa bahawa "ungu diraja" itu kain kapan yang paling mulia.[25]

Ucapan tegasnya berjaya memotivasikan mereka, termasuk Justinianus yang telah bersiap untuk lari. Selepas itu Justinianus mengarahkan tenteranya yang setia, diketuai oleh dua orang pegawai, Belisarius dan Mundus, untuk menyerang semua pemprotes di hipodrom, membunuh sekurang-kurangnya 30 000 orang pemberontak. Laporan lain memberi angka yang lebih tinggi semakin jauh sumbernya dari Konstantaniah; Zakharias dari Mitilenaios, seorang sarjana dan ahli sejarah, menganggarkan angka kematian lebih daripada lapan puluh ribu orang.[26]

Sesetengah sarjana mentafsirkan penceritaan Prokopios sebagai usaha untuk membuat Justinianus kelihatan lebih pengecut daripada isterinya, dan ucapan Theodora itu telah direka oleh Prokopios. Menukarkan istilah "kezaliman" kepada "ungu diraja", mungkin mencerminkan keinginan Prokopios untuk secara tidak langsung menyamakan Theodora dan Justinianus dengan pemerintah-pemerintah zalim purba.[27]

Walaupun Hypatius mendakwa bahawa beliau tidak mahu menjadi maharaja, beliau juga dihukum bunuh oleh Justinianus. Dalam satu sumber, ini dilakukan kerana desakan Theodora.[28]

Penghujung hidup

Kepala seorang permaisuri daripada marmar, mungkin Theodora, di Castello Sforzesco. Pertengahan abad ke-6 Masihi.[29]

Berikutan pemberontakan Nika, Justinianus dan Theodora membina semula Konstantaniah, antaranya sistem saluran air, jambatan dan lebih daripada dua puluh lima gereja, dengan yang paling terkenal ialah Aya Sophia. Justinianus dan Theodora juga sedar bahawa berbahaya jika rakyat empayar dibiarkan tidak puas hati kerana tindakan pemerintahan mereka menjejaskan rakyat. Walaupun begitu, tidak lama kemudian mereka berasa cukup selamat untuk mengembalikan semula dua menteri yang dipecat untuk menenangkan para pemberontak; Ioannes dari Kapadokia sebagai menteri kewangan, Tribonianos sebagai ketua menteri undang-undang. Selepas itu, Justinianus dan Theodora mentafahus tindakan pentadbiran mereka dengan lebih teliti supaya apa yang mereka lakukan adalah lebih wajar apabila melibatkan rakyat. Justinianus dan Theodora tidak berhenti membenci golongan bangsawan selepas cubaan khianat mereka. Sebagai balasan kepada 19 senator yang mengambil bahagian dalam rampasan kuasa Nika, semua estet mereka diranap dan mayat mereka dibuangkan ke tengah laut. Bangsawan yang tertinggal pula dikenakan cukai tinggi dan skim-skim untuk menawan harta mereka. Taktik ini direka oleh Ioannes dari Kapadokia untuk meneruskan pelan-pelan Justinianus dan Theodora untuk membina bandar semula.[30]

Theodora dikatakan suka terhadap istiadat istana. Menurut Prokopios, pasangan diraja itu pernah membuat semua senator, termasuk ketua-ketua agama, sujud kepada mereka setiap kali mereka hadir, dan menegaskan bahawa hubungan mereka dengan militia awam adalah seperti hubungan tuan dan hamba:

Bahkan pegawai kerajaan pun tidak boleh menghampiri Maharani tanpa menghabiskan banyak masa dan usaha. Mereka diperlakukan seperti hamba dan terpaksa menunggu di sebuah bilik kecil yang pengap selama tempoh yang tidak terhingga. Setelah berhari-hari, mungkin ada yang akhirnya akan dipanggil tetapi mereka menghadap baginda dengan penuh ketakutan dan segera pergi. Mereka hanya menunjukkan penghormatan dengan meniarap dan menyentuh kekura tapak kaki Maharani dengan bibir mereka; mereka tiada peluang untuk bersuara atau membuat sebarang permintaan kecuali jika baginda menyuruh mereka berbuat demikian. Pegawai-pegawai kerajaan telah jatuh menjadi hamba yang hina dan baginda ialah tuan mereka.[perlu rujukan]

Mereka juga memantau majistret, untuk mengurangkan rasuah birokrasi.[perlu rujukan]

Pegawai pentadbir Petros Barsimis merupakan sekutu rapat Theodora. Theodora menganggap Ioannes dari Kapadokia pula, ketua pengutip cukai Justinianus, sebagai musuhnya kerana beliau terlalu berpengaruh, jadi Theodora dan Antonina berpakat untuk menjatuhkan kedudukan beliau. Selain itu, Theodora menjalinkan perikatan baharu antara kerabat Maharaja Anastasius dan bangsawan-bangsawan lama yang digabungkan dengan monarki baru keluarga Justinianus. Sejarah Rahsia mengatakan dia cuba mengahwinkan cucu dia Anastasius dengan anak perempuan Antonina dan Belisarius, Ioannina, walaupun ibu bapanya tidak bersetuju. Namun, mereka akhirnya tetap berkahwin. Theodora juga disyaki telah membantu dalam mengaturkan perkahwinan kakaknya, Komito, dengan jeneral Sittas dan anak saudaranya, Sophia, kepada anak saudara Justinianus, Justin II, yang akan menjadi raja.

Theodora juga mengadakan sambutan dan mengutus surat serta hadiah kepada duta-duta Parsi dan yang asing, juga saudara perempuan Kisra I.[31]

Dia membantu wanita-wanita yang kurang bernasib baik, kadangkala "membeli gadis-gadis yang dijual untuk kerja pelacuran, memerdekakan mereka dan membiayai masa depan mereka."[32] Dia membuat sebuah biara di tebing Sungai Dardanelles di sebelah Asia yang dipanggil Metanoia (Taubat), di mana bekas pelacur boleh menyara hidup sendiri.[15] Sejarah Rahsia Prokopios mengatakan daripada menghalang pelacuran paksa (seperti dalam bab Bangunan-bangunan 1.9.3ff), Theodora telah mengumpulkan 500 orang pelacur dan mengurung mereka di dalam biara. Pelacur-pelacur cuba untuk melarikan diri daripada "perubahan yang tidak dialu-alukan" ini dengan memanjat tembok-tembok biara (SR 17). Akan tetapi, penulis sejarah Ioannes Malalas menulis secara positif tentang dia, bahawa dia "telah membebaskan gadis-gadis daripada kuk perhambaan mereka yang celaka."[33]

Justinianus dan Theodora membuat undang-undang yang meluaskan hak-hak wanita. Wanita diberi lebih banyak kebebasan dalam perceraian dan pemilikan harta, dan rogol pula dihukum dengan hukuman mati. Mereka juga melarang pembuangan bayi dan memberikan ibu-ibu beberapa hak penjagaan ke atas anak-anak sendiri. Pembunuhan isteri yang telah berzina juga diharamkan. Prokopios menyebut bahawa Theodora bersimpati dengan wanita-wanita susah, dan di dalam Sejarah Rahsia, dia dituduh memihak isteri-isteri yang berzina. Kanun Justinianus hanya membenarkan wanita menceraikan suami mereka jika mereka didera suami atau si suami ditangkap berzina. Walau bagaimanapun, bukti yang jelas mesti dibawa untuk kes-kes begini.[34]

Prokopios menulis Theodora adalah punca wanita "menjadi rosak akhlak," kerana undang-undang dia dan Justinianus. [35]